Irama Kontemporari Menggugah Misi

Menyuap sesudu pengalaman, Menakwil hala impian, Memacu liku-liku perjalanan, Memahat rentetan suka duka coretan, Melahirkan bingkisan seribu harapan buat semua yang berkesempatan.... Irama Kontemporari Menggugah Misi

17 July 2018

FINALE FESTIVAL NASYID SEKOLAH SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2018


Segalanya telah dilakukan.. latihan, penambahbaikan, bantuan, perkongsian, sisipan, pilihan dan aturan. Mereka telah dibekalkan kesemuanya untuk perjalanan sulung ke Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan. Sesuatu yang terbuku untuk dilunaskan demi membawa nama dan membuktikan kewibawaan...

Diiringi doa restu ahli keluarga yang hadir sewaktu latihan terakhir, memberi impak yang sangat mendalam dan semangat jitu bekalan diperjalanan. Guru-guru dan rakan taulan bersama-sama mendoakan semoga lancar ketika persembahan dan gemilang di arena persaingan. Terima kasih yang tidak terhingga buat Ayahanda Tuan Pengetua yang tidak jemu memberi galakan dan sokongan malah Soutul Faizin dikejutkan dengan kehadiran 40 orang penyokong dari kalangan guru-guru dan warga SIS terpilih hasil inisiatif Tuan Pengetua membawa mereka menyaksikan persembahan. Sesuatu yang amat istimewa dan menjadi kenangan sampai bila-bila.

Perjalanan telah diaturkan oleh Ketua Kontinjen dan barisan urusetia Negeri Perak yang sangat komited dan ceria daam memastikan segala yang diatur lancar diperjalanan. Menaiki bas Sekolah Menengah Seri Perak Teluk Intan juga menjadi inspirasi terbaik kepada kontinjen oleh kerana kumpulan Islamic Quality SMK Seri Perak merupakan pasukan nasyid terakhir yang menghadiahkan Negeri Perak Johan FNSS Peringkat Kebangsaan pada tahun 2008.

Bumi Indera Kayangan telah dijejaki.. Universiti Malaysia Perlis menjadi lokasi arena persaingan berkualiti yang akan menjadi saksi pasukan terbaik diantara yang terbaik akan diangkat sebagai Inspirasi tahun 2018 ini. Nama-nama besar arena ini juga sudah cukup memberi gangguan psikologi kepada kami. Namun sentiasa kami diingati jangan takut jangan gentar kerana ini pentas pertama kali untuk kami beraksi dan tiada apa yang kami perlu takuti kerana sasaran utama adalah menyampaikan persembahan berkualiti setaraf pasukan yang disegani. 

Anugerah, Izdan, Khairan, Soutul Azim dan lain-lain kumpulan merupakan nama-nama besar yang sentiasa menghiasi saingan FNSS Peringkat Kebangsaan menguatkan lagi semangat Soutul Faizin untuk bersama-sama merasai bahang persaingan yang pasti menjadi dambaan dan ditunggu-tunggu oleh semua munsyid sekolah. Saingan yang menyajikan kualiti dan dimensi baru dari tahun ke tahun untuk dipelajari dan dikuasai. Alhamdulillah... inilah peluangnya... terbuka didepan mata dan selangkah lagi untuk mencipta nuansa baru untuk irama SouFa didendangkan...
























































No comments:

Post a Comment