Nasyid bukan saja sebagai hiburan tapi juga media dakwah yang berkesan..sebab apa dikatakan sebagai media adalah kerana ia juga sebagai perantara menyampaikan mesej, pendidikan, maklumat, menyemai semangat, cabang zikrullah malahan sebagi terapi diri secara tidak langsung. Sejauhmana realiti yang kita lihat masakini adakah genre nasyid ini mampu bertahan dan terus melangkah jauh. Sudah tentu persepsinya ada pada kita sendiri yang melihat industri nasyid ini berkembang.
- Muzik ialah gubahan bunyi
- Nyanyian bermaksud gubahan muzik yang dilagukan dengan suara
- Nasyid senandung yang berisi syair keagamaan, lantunan atau bacaan.
Kesenian seni suara telah bermula sejak zaman Nabi Daud dan puteranya Nabi Ismail a.s. Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Daud mempunyai suara yang sangat merdu dan lantang. Sambil memetik kecapi beliau menyanyikan puji-pujian kepada Allah s.w.t. Baginda begitu asyik dalam memuji sehingga merasakan gunung-ganang dan bukit-bukau turut menyanyi bersamanya. Nabi Daud juga merupakan insan yang pertama mengunakan keindahan seni suara dengan iringan alat kecapi untuk merasakan dan meresapi keindahan alam sekitar (Engku Ibrahim Engku Ismail dan Abd Ghani Shamsuddin,1990,hlm:3). Sejarah kesenian yang berunsurkan seni suara dan seni muzik seterusnya terus berkembang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya.
Membuka penulisan ini, melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
i. Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
ii. Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
iii. Pancaragam yang melalaikan, hukumnya haram.
iv. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
v. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Secara mudahnya pandangan mata kasar kita melihat industri ini boleh maju dan berjaya namun secara transisinya ia bergantung kepada penasyid dan pendukungnya memartabatkan nasyid ini sampai ke tahap yang membanggakan. Persoalan yang sering bermain dibenak suara hati ini apakah konsep nasyid itu benar-benar difahami secara umum atau khusus yang mana sekali sekala ia mempelawa kebimbangan pabila melihat kemana arah tujunya yang sebenar.
Bak kata idola penulisan yang saya kagumi Ust Pahrol Mohamad Juoi, apa yang ada dihati penansyid itulah yang akan lahir sebagai produknya. Kita mengimpikan untuk membawa nasyid itu secara kreatif bertunjang Syariat, inovatif menggarap nasihat, efektif menyalur manfaat & representatifnya ia sebagai wadah bermaklumat.
Isu yang seringkali berlegar adalah antara nasyid asli, nasyid kontemporari, lagu dakwah dan sebagainya. Adakah bersandarkan lirik keagamaan ia boleh dikategorikan sebagai nasyid, lagu berirama padang pasir, qasidah, burdah sebagai nasyid asli dan melodi nasyid yang pelbagai dan moden sebagai nasyid kontemporari, dan dimanakah kedudukan lagu dakwah diletakkan. Apakah perbezaan diantara nasyid kontemporari dan lagu dakwah. Persoalan-persoalan ini sering menjadi momokan seawal munculnya kategori nasyid kontemporari.
Seakan benar persepsi-persepsi ini timbul bila mana berlangsungnya pertandingan. Kita masih belum didedahkan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu dan pihak yang merasa bertanggungjawab memberi penjelasan berkaitannya. Maka polemik demi polemik wujud dan mengheret kewibawaan juri dipersoalkan dan seringkali menjadi pertikaian. Kita sendiri tidak tahu siapakah "ahlinya" yang boleh dipertanggungjawabkan mengadili kerana dipercayai juga masih wujud segelintir juri yang masih belum jelas mengenainya.
Hakikat yang perlu kita sedari dewasa ini adalah keghairahan gen Y mengikuti perkembangan dan membangunkan genre ini dengan pelbagai perubahan, peningkatan, pembaharuan, kepelbagaian melodi, identiti dan sebagainya. Apakah usaha-usaha mereka menemui matlamat nasyid sebenar atau menyimpang atau masih bereksperimentasi.
Nasyid yang kita kenali adalah melodi islamik dihiasi lirik penuh informasi dan disampaikan dengan suara yang indah dan menenangkan hati. Kini umumnya menjadi "trend" dipersembahkan dengan penuh tenaga dan adakalanya bila kita menyaksikan pertandingan ada suara yang sengaja dibuat-buat. Mungkinlah hasil pembelajaran muzik dan seni suara moden mampu menamakan pelbagai bentuk suara dari asas hingga ke "ghost note" namun jangan kita lupakan hakikat asas nasyid itu sendiri yang mengutamakan originaliti. Sama seperti seni suara didalam membaca Al Quran yang mana kepelbagaian "tobaqat" itu telah memberi impak keunikannya lantunannya, namun ia masih bersandarkan originaliti asas suara...
Adakalanya faktor semasa seolah-olah menampakkan kita sendiri menggadai nilai-nilai yang lebih murni diasak oleh budaya populariti tanpa sedar bahawa penasyid itu daie dan juga murabbi. Apapun perubahan yang kita lakukan mestilah berpandukan nilai-nilai teras nasyid itu sendiri. Tidak salah untuk kita mencuba dan menginovasikan nasyid itu kearah komersil dan terkini, tetapi mestilah tidak mengabaikan aspek-aspek yang diperkatakan diatas kerana apa jua atas nama nasyid kita akan kembali kepada misi berdakwah dan mendidik sebagai orientasi.
Melodi dan lirik juga menjadi intuisi asas kesinambungan seni nasyid yang terbaik. Perasaan didalam melodi itu mampu digambarkan dengan kesinambungan lirik yang serasi. Menelusuri melodi yang pelbagai seperti semangat, ketenangan, rintihan, perjuangan, munajat, sedih, gembira dan sebaginya sudah pasti diserikan dengan lirik yang menggambarkan melodi itu sendiri. Sinonimnya adalah sesuatu yang janggal sebagi contoh apabila melodi perjuangan dilantunkan dengan lirik berbentuk rintihan, melodi kesedihan dengan lirik berunsur keriangan. Bagi mendapatkan mood melodi yang terbaik dan memberi impak sudah pasti gandingan melodi perjuangan disertakan dengan lirik yang tegas dan mengajak kita berjuang, melodi ketenangan dengan lirik yang menggambarkan kedamaian... (sekadar contoh...)
Islam mengiktiraf melodi dari mana-mana bangsa, suku, daerah dan sebagainya dan ia bukan hak milik sesuatu bangsa..maka secara matematiknya tiada masalah untuk genre ini berkembang secara global untuk pendengar menerima pengisian mahupun perubahan. Kembali kepada persoalan asal tadi sejauhmana nasyid itu kita tempatkan kategorinya perlu dijelaskan semaksimanya.
Agak berjela jugak entry kali ini. Admin bukanlah siapa-siapa di arena ini, penulisan ini adalah bertujuan untuk mengumpul respon, pendapat, berkongsi rasa, ilmu, pengalaman dan suara hati. Penulisan ini mungkinlah sedikit sebanyak membuka minda kita untuk berinteraksi sebagai lambang jalinan silaturrahmi secara tidak langsung. Apapun natijahnya penulis mengundang kepada semua pencinta nasyid tanahair berkongsi ilmu, pengalaman dan pengertian untuk mendefinisikan istilah nasyid yang sebenarnya...
Sambil memacak panji-panji di puncak khaira ummah Cemerlang, gemilang dan terbilang.....
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan...